Apr 1, 2012

SGM 1 @ Kuala Terengganu

Alhamdulillah, umi ahmad berkesempatan menyertai SGM yang pertama di Kuala Terengganu untuk tahun 2012. Tajuk SGM kali ini, HIKMAH DISEBALIK SUSU IBU. Mengapa perlu menyusukan bayi kita? Di dalam Al Quran juga ada disebut kan mengenai penyusuan ibu... Itulah indahnya Islam. Segenap cabang kehidupan termaktub di dalam Al Quran sebagai panduan kita bersama.

HIKMAH SUSU IBU... Memang banyak... Begitu sayangnya Allah kepada makhluknya... Dikurniakan rezeki kepada bayi yang baru lahir melalui susu ibu yang tidak ternilai, khasiatnya memang tiada tandingan...

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan yang telah dicapai oleh mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah melakukannya. Dan jika kamu hendak memberi anak-anak menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan upah yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan (Surah Al Baqarah : ayat 233)

INILAH ANTARA YANG TELAH DIBINCANGKAN PADA SGM KALI INI....

Susu ibu telah terbukti merupakan sumber makanan terbaik untuk bayi selepas dilahirkan.
Merupakan makanan yang lengkap untuk bayi sehingga berumur 6 bulan serta mengandungi karbohidrat, protein dan lemak yang bersesuaian dengan sistem penghadaman bayi. Separuh daripada susu ibu terhadam dalam masa 48 minit, manakala susu lembu selama 78 minit. Itulah sebabnya bayi yang menyusu ibu kerap menyusu berbanding bayi yang disusui dengan susu botol. Susu ibu mengandungi protein yang terhasil daripada sel ‘lactocyte’ di kelenjar mamari (payudara). Ia berfungsi untuk:

- tumbesaran bayi (essential acid amino)
- memberi sumber tenaga kepada bayi
- mengawal bayi dari jangkitan kuman (immunoglobulin, lactoferrin)
- membawa hormon dalam badan bayi
- membawa vitamin dalam badan bayi

Karbohidrat didalam susu ibu adalah kebanyakannya laktosa, juga dihasilkan oleh sel ‘lactocyte’. Ia mudah dihadam oleh enzim pencernaan ‘lactase’, kepada glukosa dan galaktosa. Enzim ‘lactase’ ini telah dihasilkan oleh bayi sejak berumur 24 minggu dalam kandungan lagi. Laktosa berfungsi untuk:
- membantu dalam penghasilan lebih banyak susu
- meningkatkan penyerapan kalsium dan zat besi untuk pertumbuhan bayi
- glukosa dan galaktosa memberi tenaga kepada bayi, terutamanya dalam pertumbuhan otak bayi
- galaktosa pula penting untuk membantu pertubuhan sistem saraf bayi

Susu ibu juga mengandungi lemak. Kebanyakannya dalam bentuk ‘triglycerides’. lemak didalam susu ibu penting untuk penghasilan dan perkembangan retina dalam mata untuk penglihatan, sistem saraf dan menyokong perkembangan sistem imun dalam bayi. Susu ibu mengandugi lemak rantaian sederhana dan lemak rantaian panjang (medium chain & long chain fatty acids). Susu ibu kaya dengan ‘linoleic acid’, ‘arachidonic acid’ (AA) dan ‘docosahexaenoic acid’ (DHA). Kolesterol di dalam susu ibu penting untuk pembentukan sel yang stabil dalam badan bayi. Didalam susu lembu kurang AA, DHA dan kolesterol.
Selain itu, susu ibu juga mengandungi vitamin, garam dan mineral untuk menyokong pertumbuhan bayi.





BAGAIMANA SUSU IBU MELINDUNGI BAYI DARIPADA JANGKITAN?

Susu ibu mengadungi sumber kawalan jangkitan yang boleh membantu bayi sentiasa sihat. Ia meliputi sumber protein, karbohidrat, lemak dan komponen sel.

Protein
- ‘secretory’ immunoglobulin A: memberi pelindungan kepasa usus daripada jangkitan bakteria
- lactoferrin: membunuh bakteria, anti-viral, anti-fungal (melawan Candida albicans)
- alpha-lactalbumin: menghapus sel kanser
- lysozyme: melawan jangkitan E.coli


Karbohidrat (oligosakarida): menghalang bakteria bertindak dalam tubuh bayi sekaligus menyingkirkan bakteria dari tubuh bayi, menghalang jangkitan telinga (otitis media), jangkitan paru-paru, jangkitan pundi dan salur kencing serta mencegah cirit-birit.

Komponen sel: sel darah putih dan makrofaj didalam susu ibu menghalang payudara daripada terkena jangkitan





PENYUSUAN SUSU IBU (LAKTASI) JUGA MEMBANTU IBU KEKAL SIHAT

- Pada peringkat awal kelahiran, penyusuan ibu membantu pengecutan rahim, sekaligus mengurangkan risiko pendarahan dan anemia
- Laktasi yang ekslusif akan menghalang ovulasi dan menyebabkan seseorang ibu tidak datang haid. Ini sekaligus dapat membantu menjarakkan kehamilan. Secara purata, selama 6 hingga 7 bulan tidak datang haid
- Laktasi dapat membantu ibu mengurangkan berat badan secara cepat selepas kelahiran
- Laktasi dapat mengurangkan risiko osteoporosis
- Laktasi mengurangkan risiko diabetes
- Laktasi mengurangkan risiko kanser payudara, kanser ovari dan kanser rahim





GAMBAR SEKITAR SGM KALI INI... TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG MENJAYAKANNYA... SEMOGA BERTEMU DI SGM YANG AKAN DATANG

SGM ADALAH ANJURAN PERSINT

No comments:

Post a Comment